Thursday, April 13, 2017

Tidak ku lupa

Hati ini dibunuh lagi,
Dan kau tetap setia di sisi,
Memujuk aku mengubat luka 
yang makin takut untuk aku sentuh sendiri,
Kau tetap setia di sisi ini,
Sekali lagi…

Hati ini dibunuh lagi,
Dan kau tetap setia di sisi,
Kali ini—
Makin aku kesat,
Makin deras dia melawan,
Kau cuba menunjukkan kesaktian yang kau ada,
Semuanya mula berbeza,
Bila yang dikesat itu mula reda 
tanpa aku duga kau penyembuhya.

Sekali lagi,
Hati ini dibunuh lagi,
dan kali ini kau tiada lagi disisi,
kerna pulangnya kau ke negara abadi,
kau bekalkan aku memori,
sebagai ubat untuk hati yang akan dibunuh 
lagi…
lagi…
lagi…

tenang sana tenang teman,
dirimu sudah aku tanam dalam jiwa semalam. 

Bunga Negara

Saat granat dilantun ke muka bumi,
Ketika itu sang wira setia berbakti,
Tiap kelongsong menembusi jiwa,
Kekal pertahan tanah tumpah darahnya.

Perwiraku!
Sumpahnya darah mengalir terkubur,
Bukan negara yang tercabul,
Yang dipertahankan itu makmur,
Biar terus mekar subur.

Subur!

Tenang,
Malam ini kelihatan nyaman,
Ditemani bunyi cengkerik yang berirama,
Angin bayu pantai meniup ke ubun-ubun ku -- dingin.

Gugusan bintang sedang berkelip,
Bulan terang tersenyum menerangi alam,
Indah!
satu kata untuk Tuhan penciptanya.

Beradu aku dalam pengharapan,
Esok moganya kekal…

Kita

Hari ini,
Langit masih cerah,
Awan berkumpul melindungi kita,
Pokok hijau menyebarkan zarahnya,
angin tulus meniup menyapa kita.

Hari esok,
Jika masih ada,
Tiada lagi langit menyerah alam,
Kosong awan tidak lagi memeluk terik kita,
Hijau daun gugur menyembah bumi durjana,
Tiada angin sudi bertegur sapa.

Siapa durjana sang pemusnah?

KITA.

Adat

Ada suara melaung,
Dalam hati meronta-ronta,
Kaki melangkah laju,
Mempertahankan adat lama yang dimamah tanpa rasa.

Warisan moyang dilupakan,
Amalan-amalan dibiarkan terkulai,
Era permodenan menggigit otak,
Mulalah akal menutup adat moyang kita.

Adat kita harus dipertahankan!
Adat kita harus dipertahankan!
Adat kita harus dipertahankan!


Tempik hati bergema.

Menunggu mati

Duduk diberanda,
Tiada angin menyapa,
Mengeluh kesal,
Mungkin saja angin tidak mahu menyapa awan,
Tidak mahu awan kecewa,
Sikap manusia mencemarkan tanpa ada wasnya,
Hingga menitikkan hujan kepada kita.

Hijau di daun mulai pudar,
Batang pohon mulai rapuh bergoyang,
Mungkin saja tiada fotosintesis yang sudi bertemu,
Kerana udara mulai membusuk.

Mengeluh terus,
Sambil menanti alam terkubur lesu.

Tenang, kita tak apa

Goyang tersungkur matawang kita,
Politikus masih tenang berkata;
“tak apa kita masih bisa bangun semula.”
Kera dihutan meloncat-loncat bagai nak gila,
Harimau tenang mencari peluang membaham saja.